Wednesday, 3 September 2014

EDU 3083 ASAS KEPIMPINAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONAL GURU

PERANAN GURU DALAM MEREALISASIKAN PPPM
1.0  Pengenalan
Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi era baharu . Peranan guru pada masa dahulu hanya bertumpu sebagai penyampai ilmu . Berbanding sistem pendidikan kini , guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara pengetahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan situasi – situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan . Selaras dengan perubahan peranan pendidik , guru harus lebih inovatif , kreatif dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan pendekatan baharu untuk mengadaptasikan amalan dengan kehendak pelajar sebagai ‘ knowledge worker ‘ dalam era revolusi maklumat abaf ke – 21 .
Guru dalam alaf baharu seharusnya professional dan profesionalismenya ialah kunci kepada peningkatan kualiti ( Jemaah Nazir , 2001 ) . Kualiti yang dimaksudkan merujuk kepada kualiti proses dan yang lebih penting ialah kualiti produk (output) . Dengan ini , sumber manusia ( modal insane ) perlu dibangunkan secara bersepadu melalui latihan – latihan bagi memastikan setiap individu dapat mengembangkan potensi ke tahap yang optimum . Program – program pembangunan professional sudah tentu dapat mengupayakan guru demi meningkatkan kualiti pendidikan negara .
Perkataan keguruan diamabil daripada perkataan dasarnya iaitu guru . Menurut Kamus Dewan , guru bermaksud pengajar , pendidik atau pengasuh manakala perkataan keguruan pula berkaitan dengan guru dan peranan ( tugas dan kelayakan ) sebagai guru . Sesuatu profesion yang sebenar adalah suatu bidang yang mempunyai ciri – ciri seperti kepentingan kemahiran intelek , latihan iktisas yang mencukupi , khidmat yang diperlukan oleh masyarakat . Menikmati autonomi individu dan kumpulan , mementingkan mutu perkhidmatan , mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod setia dan mempunyai organiasasi tersendiri untuk menguruskan soal – soal yang berkaitan dengan pendidikan       ( Lieberman 1956 ) .


Menurut Kamus Dewan ‘profesion’ adalah suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas . Berdasarkan ciri – ciri profesion , Mok Soon Sang ( 1996 ) merumuskan secara ringkas konsep professionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu , bersikap jujur , dedikasi , berakauntabiliti dan bermoral tinggi , mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organiasasinya .
Sistem pendidikan di negara kita amat dinamik dan akan sentiasa bergerak maju ke hadapan . Perubahan – perubahan dan transformasi dalam kurikulum pendidikan bertujuan memenuhi kehendak negara . Merealisasikan sebuah negara maju pada masa hadapan . Setiap perubahan dan transformasi kurikulum pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion perguruan oleh itu , adalah mustahak bagi setiap indidvidu yang berkecimpung dalam bidang ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan , kelebihan prestasi dan keterampilan dari semasa ke semasa agar dapat bertanding dalam era perkembangan teknologi pesat . Jika hal ini wujud , barulah tuntutan – tuntutan dalam transformasi kurikulum itu dapat ditangani . Walaubagaimanapun , sejauh mana kita mengiktiraf dan memartabatkan keguruan sebagai satru profesion bergantung pada tanggapan masyarakat . Adalah peranan guru semakin hilang kewiwabawaannya kerana masyarakat telah mengalihkan pandangan pada kerjanya diiktiraf sebagai professional oleh pihak kerajaan seperti doktor , peguam dan arkitek .
Dalam konteks ini , pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah berusaha dengan bersungguh – sungguh untuk menjadikan profesion keguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai . Hal ini termasuklah dalam teras Pelan Pembangunan Pendidikan Malysia ( PPPM ) 2013 – 2025 iaitu memartabatkan profesion keguruan antara agenda utamanya selain daripada “kemenjadian” murid . Para guru sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meningkatkan aspek profesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kehendak teras PPPM .


2.0  Isu  Guru dan Analisis : ( Peranan Guru Dalam Merealisasikan PPPM ) .
Pada Oktober 2011 , Kementerian Pendidikan telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu . Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula system pendidikan berdasarkan standard pendidikan anatarabangsa yang kian meningkat , peningkatan aspirasi negara dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke – 21 .
Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian , Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO , Bank Dunia , OECD , dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam . Kajian ini juga melibatkan penyertaan pemimpin sekolah , guru , ibu bapa , orang ramai dan murid di seluruh negara . Dokumen awal Pelan Pembangunan Pendidikan telah dibangunkan bagi menilai prestasi semasa sistem pendidikan Malaysia dengan mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras anatarabangsa . Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan . Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan starategik dan potensi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan .
Perubahan atau penambaikan sisitem pendidikan dilakukan dari semasa ke semasa . Pihak yang berkenan berbuat demikian adalah atas alasan bahawa perubahan tersebut penting untuk rakyat dan negara . Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM ) 2013 – 2025 oleh Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhiyiddin Yassin pada bulan September 2013 yang lalu adalah antara perubahan terkini dalam sistem pendidikan kita .






 Antara perkara penting dalam PPPM adalah untuk melahirkan murid yang mempunyai 6 ciri utama , seperti yang berikut , iaitu :
v  pengetahuan (murid yang berpengetahuan).
v  kemahiran berfikir  (murid yang mahir berfikir) .
v  kemahiran memimpin  (murid yang dapat menjadi pemimpin) .
v  kemahiran dwibahasa (murid yang menguasai sekurang – kurangnya 2 bahasa) .
v  etika dan kerohanian (murid yang berpegang pada etika dan memiliki sifat rohani yang tinggi) .
v  identiti nasional (murid yang mempunyai indentiti kebangsaan).
Dalam menzahirkan hasrat kerajaan untuk melahirkan murid yang mempunyai 6 ciri utama seperti yang digariskan , guru merupakan tonggak utama kearah mencapai hasrat tersebut . Gurulah yang berperanan memastikan muridnya berpengetahuan , mempunyai kemahiran berfikir , berkeupayaan memimpin , menguasai dwibahasa , mempunyai etika dan kerohanian yang kukuh , serta murid yang beridentiti nasional . Hasrat yang disasarkan oleh pihak kerajaan itu sangat sempurna sifatnya jika generasi yang lahir dalam era PPPM 2013 – 2025 dapat dibentuk dan dididik seperti yang dirancang . Oleh hal yang demikian , guru perlulah melengkapan diri dan bersedia melakukan perubahan agar berupaya melhirkan kesemua hasrat tersebut . Penguasaan ilmu pengetahuan bagi setiap guru amatlah penting dalam menjayakan hasrat untuk melahirkan pelajar yang mempunyai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi ( KBAT ) seperti yang dituntut oleh PPPM .
Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan alat berfikir dan mengeluarkan banyak dana seperti i – Think perlu dimanfaatkan secara serius . Hal ini demikian kerana , untuk melahirkan murid yang mempunyai KBAT , guru juga perlu melakukan anjakan paradigma , sebagai contoh pelajaran secara berpusatkan guru serta pembelajaran berorentasikan peperiksaan tidak lagi diamalkan . Sehubungan dengan itu , setiap murid perlu menguasai pelbagai kognitif  termasuk dapat menyelesaikan masalah dan mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif . Usaha untuk melahirkan murid yang mahir berfikir turut dilakukan di sekolah , khususnya melalui P & P . Dalam proses tersbut , murid didedahkan pelbagai jenis soalan , termasuklah yang memerlukan daya pemikiran yang kritis dan kreatif .
Dalam era transformasi pendidikan , guru hendaklah menghasilkan murid yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi murid dalam semua aspek JERIS bagu mencapai pendidikan bertaraf anatarabangsa . Menurut Mok Soon Sang ( 2007 ) , Profesor Syed Muhammad al – Alatas menyatakan ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyaburan serta semangat kepada jiwa manusia . Hal ini menunjukkan ilmu merangkum semua aspek kehidupan luaran dan dalam jiwa manusia . Guru sebagai pengamal ilmu perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca , berfikir , memerhati , berkarya , terlibat dalam sumbangan , dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baharu (Ragbir Kour 2007 ) . Dalam P & P , guru akan memindahkan ilmu yang baik , meninggikan adab murid , serta memberi tunjuk ajar ke arah kebenaran sebagai pengamal ilmu .
Untuk melahirkan murid yang berpengetahuan , khususnya untuk meastikan kanak – kanak mengusai kemahiran literasi dan numerasi , guru mampu memainkan peranan . Kebanyakan guru dapat menggunakan pengalaman dan kemahiran  masing – masing untuk mengaplikasikan pelbagai kaedah dan aktiviti P & P dalam membimbing murid agar menguasai kedua – dua kemahiran tersebut . Walaupun begitu , usaha untuk menggalakkan murid menambahkan pengetahuan dalam pelbagai bidang agak mencabar .
Hal ini dikatakan demikian sebagai keperluan harian hasrat tersebut murid perlu menjadikan pembacaan sebagai keperluan harian mereka . Kegagalan pihak sekolah dan ketiadaaan sokongan yang berkesan daripada pihak lain untuk membimbing murid agar meningkatkan amalam membaca tidak memungkinkan murid yang berpengetahuan dapat dilahirkan . Bilangan murid yang gemar membaca , masih kurang memuaskan . Antara puncanya budaya membaca ini tidak diamalkan oleh orang dewasa terutama sekali ibu bapa di rumah . Bagi guru yang kurang membaca pula , mereka kurang cenderung untuk menasihati murid agar membaca . Jika guru yang berkenaan berbuat demikian , keberkesannya tidak seberapa kerana guru tersebut tidak dapat menghayati kenikmatan membaca .



Oleh itu peranan guru sebagai pembentuk tingkah lakulah yang dapat membentuk tingkah laku dari yang negatif kepada positif , iaitu dari tidak suka membaca kepada tabiat gemar membaca . Menurut pandangan Islam , orang yang menajdi guru diberi Allah kelebihan berganda . Hadis Nabi Muhammad(SAW) bermaksud “Bahawa orang yang berilmu harus mengajarkan ilmu pengetahuan kepada orang lain dan perkataan mengajar itu amat terpuji ”. Menurut Al – Ghazali pula dari perspektif Islam , tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan . Tingkah laku normal atau tidak normal adalah berdasarkan kepada kekerapan dan berlaku sepanjang masa dan mempunyai masalah psikologi . Sebarang pembentukan tingkah laku murid haruslah diuruskan oleh guru supaya murid yang dihasilkan mempunyai tingkah laku yang terpuji dan dapat diterima umum .
Menurut Lewis M . Beaker ( 2001 ) , tingkah laku adalah sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak , secara sedar atau separa sedar . Carl Rogers ( 1999 ) , menekankan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan . Sekiranya individu itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berintetaksi dan bertindak dengan lebih yakin .
Pengurusan tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai . Dr . Ragbir Kaur ( 2005 ) , setiap guru mesti ada satu bentuk sistem pengurusan tingkah laku mengawal kelas , pembelajaran yang sihat dan produktif .
Guru perlu berusaha membimbing tingkah laku positif dan menghentikan tingkah laku negatif dan membebaskan murid daripada sebarang gangguan . Kegagalaan menguruskan tingkah laku akan menyebabkan gangguan emosi yang serius . Tingkah laku yang tidak diuruskan dengan baik akan memeberi kesan kepada proses P & P yang akhirnya akan menyebabkan prestasi akademik murid merosot .


Asas penting dalam pembentukkan tingkah laku murid adalah membina hubungan yang positif anatara guru dan murid di dalam sekolah atau bilik darjah . Hubungan yang dibina adalah berlandaskan perasaan guru – murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah . Untuk memupuk hubungan kasih sayang dan tepat kepada murid – murid . Dalam masa yang sama guru juga boleh terima pujian daripada muridnya . Melalui cara ini tingkah laku murid dapat dibentuk dengan lebih berkesan .
Jadi untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid – murid , guru hendaklah merancang strategi dan kaedah yang dapat menarik minat murid seperti program memberi butang berwarna mengikut bilangan buku dibaca , atau memberikan hadiah buku kepada murid semasa hari lahir mereka . Guru juga harus menjadi amalan membaca sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan murid dapat menikmati faedah membaca .
            PPPM juga mempunyai matlamat untuk melahirkan pelajar yang mempunyai keupayaan untuk memimpin. Matlamat ini tidak mudah dicapai kerana tidak banyak program berkesan untuk melahirkan murid seperti yang dimatlamatkan. Pelajar yang dianggap bertanggungjawab dan mempunyai pencapaian akademik yang agak baik akan dilantik sebagai pengawas sekolah. Segelintir yang lain akan dilantik sebagai pengawas pusat sumber , ketua kelas, pemimpin rakan sebaya, pemimpin persatuan atau kelab. Perancangan khusus untuk membimbing murid agar menjadi pemimpin yang berkualiti sehingga kini masih belum jelas. Program untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti tidak dipinggirkan, tetapi hanya dijadikan program sampingan. Oleh sebab itulah ibu  bapa dan murid beranggapan bahawa program bukan akademik kurang penting,maka sokongan dan sambutan murid terhadap program sedemikian kurang menggalakkan.
            Peranan guru bukan sahaja merangkumi aktiviti P&P berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran semata-mata tetapi merangkumi pembentukan akhlak keseluruhan seseorang murid. Seorang guru yang berkesan akan memastikan bahawa muridnya menguasai kemahiran yang diperlukan untuk menangani masalah atau cabaran yang mungkin dihadapi dalam kehidupannya. Oleh itu, guru perlulah berperanan sebagai pembimbing, bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa untuk membimbing murid kea rah kehidupan berkualiti dan sihat.
            Guru boleh berperanan sebagai ‘ mentor’ di mana peranannya merupakan kombinasi malatih, menyokong, memberikan bimbingan dan maklum balas yang membina untuk malatih dan membentuk diri murid-murid sebagai secara langsung dan tidak langsung semasa di sekolah sama ada semasa aktiviti P&P di dalam kelas atau semasa aktiviti ko-kurikulum yang diadakan. Peranan guru tidak terbatas sebagai seorang pengajar semata-mata melaksanakan tugas mereka berdasarkan skop kurikulum dan arahan pihak pengurusan sekolah. Sebagai pendidik , guru juga pembimbing dan mendidik pelajar menjadi insan yang sihat , positif dan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat.
            PPPM  juga mensasarkan murid dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Penguasaan lebih daripada satu bahasa memberikan kelebihan yang banyak kepada seseorang murid. Selain dapat membaca bahan bacaan dalam pelbagai bahasa, golongan ini lebih mudah berkomunikasi dengan pihak lain dan seterusnya meningkatkan imej diri. Di sekolah , dua bahasa yang seharusnya dikuasai oleh murid ialah bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris , iaitu bahasa antarabangsa. Tidak dinafikan bahawa guru memainkan peranan untuk mendidik murid agar menguasai kedua-dua bahasa tersebut. Namun begitu, walaupun sudah 57 tahun Malaysia mencapai kemardekaannya, namun masih terdapat murid bukan Melayu yang tidak dapat berbicara dalam bahasa kebangsaan dengan fasih apabila diajukan soalan dalam bahasa Melayu.
Bagi pelajar di negeri-negeri tertentu seperti Kedah dan Kelantan, masih tidak memisahkan diri mereka dengan dialek, masalah kemahiran berbahasa akan timbul.Bagi sesetengah sekolah pula, dialek turut digunakan oleh pihak sekolah ketika melaksanakan P&P dan juga semasa perhimpunan rasmi sekolah, dengan alasan memudahkan murid-murid memahami mesejnya. Kelemahan murid untuk menguasai bahasa Inggeris pula berkait rapat dengan persekitaran murid yang jarang terdedah pada bahasa antarabangsa itu. Jika masalah ini tidak diberikan perhatian, sudah pasti ciri pelajar  yang dimatlamatkan oleh PPPM tidak dapat direalisasikan.


            Maka di sinilah peranan guru sebagai pengamal reflektif harus sentiasa mempersoalkan amalan dirinya dan tidak hanya  bertindak atas tabiat atau mengikut arahan semata-mata. Refleksi membolehkan peramalnya menilai, memahami dan belajar  daripada pengalaman. Guru hendaklah membuat refleksi terhadap ‘sesuatu’ yang dikaitkan dengan aktiviti pengajarannya. ‘Sesuatu’ disini bolehlah dikaitkan demgam kelemahan murid menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Oleh itu, guru yang reflektif akan merancang dan bertindak dengan penuh kesedaran berasaskan teori dan prinsip P&P. Amalan ini boleh diperkembangkan dengan bertanyakan diri soalan-soalan yang berkaitan dengan perkara-perkara yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas mengajar dengan tujuan mempertingkatkan kemahiran – kemahiran dalam profesion keguruan. Mengikut Schon (1987), apabila peristiwa atau pengalaman di luar jangkaan berlaku, individu yang berfikir secara sedar semasa menghadapi permasalahan tersebut telah melakukan refleksi semasa tindakan. Apabila seseorang merenung kembali tindakannya, membauat analisa tentang peristiwa lepas dan merancang tindakan susulan, individu tersebut telah mengamalkan refleksi ke atas tindakan.
            Daripada amalan merefleksi, guru dapat membuat penyelidikan untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti semasa membuat refleksi. Contoh , permasalahan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris murid-murid. Guru sebagai penyelidik boleh mengkaji secara sistematik isu amalan bilik darjah, membuat inkuiri untuk menghasilkan teori dan kefahaman baharu berkaitan permasalahan yang dihadapi. Dapatan kajian bolehlah dikongsikan dengan guru-guru lain di samping membina hubungan dengan rakan taulan dalam usaha mencari amalan terbaik P&P.
            Peranan guru sebagai penyelidik membenarkannya mengkaji sesuatu peristiwa secara saintifik, membuat analisa berdasarkan bukti empirical dan data yang sahih seterusnya membantu guru membuat keputusan yang bijak dan berkesan mengikut teori-teori dan prinsip P&P. Oleh itu, guru dan dengan kerjasama rakan-rakan sekerja dan panatia, dapat membuat penyelidikan untuk membuat kajian tindakan terhadap isu masalah penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid. Diharap dengan adanya kajian tindakan yang dilakukan maka dapatlah sesuatu  tindakan diambil untuk mengatasi masalah ini.
            PPPM turut mencatatkan bahawa system pendidikan akan menyediakan pengalaman kepada kanak-kanak untuk berdepan dengan cabaran apabila dewasa dengan keupayaan menyelesaikan konflik, bijak membuat pertimbangan, berpegang pada prinsip ketika berada dalam situasi kritikal dan berani melakukan sesuatu yang betul. Selain itu, usaha untuk melahirkan murid yang penyayang dan dapat memberikan sumbangan kepada kesejahteraan komuniti dan negara turut diberikan penekanan. Bagaimanakah golongan guru dapat memainkan peranan bagi mencapai hasrat tersebut ?
            Antara usaha untuk menzahirkan pelajar seperti yang dihasratkan itu adalah melalui penyerapan nilai murni sama ada secara langsung ataupun  secara tidak langsung. Selain dilakukan melalui P&P di bilik darjah, penyerapan nilai murni turut dilakukan ketika melaksanakan aktiviti persatuan atau kelab dan juga melalui aktiviti yang lain. Perkara ini bukanlah perkara baharu kerana penyerapan kasih saying, keberanian, tanggungjawab, saling membantu, patriotik dan lain-lain sudah dilakukan sejak dahulu. Walaupun begitu, usaha yang dilakukan guru di sekolah kadangkala kurang menampakkan kesan positifnya memandangkan masih terdapat pelajar yang tidak memiliki ciri seperti yang dimaksudkan itu. Usaha penyerapan nilai murni ini tidak harus dilakukan bermusim, sebagai contoh, murid-murid dan guru-guru bersemangat patriotik bila berada di bulan sambutan kemerdekaan sahaja. Tetapi bila tempoh sambutan berakhir,seolah-olah ia hanya sekadar sambutan Hari Kemerdekaan sahaja. Semangat patriotik bukan sahaja melalui kibaran bendera dan pemakaian baju sahaja malah sepatutnya berterusan dan tersemadi di dalam jiwa dan nurani setiap rakyat Malaysia.
            Maka guru sebagai agen sosialisasi, guru berperanan membentuk individu yang mampu, bersosialisasi dan memiliki kecedasan emosi yang tinggi agar dapat menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan kelak. Guru yang memahami peresaan diri dan orang lain mempunyai kawalan diri dan motivasi diri akan mempamerkan sifat empati serta mampu membantu pelajar membentuk emosi yang sihat. Guru juga dapat membentuk diri murid dengan konsep kendiri positif serta membina keyakinan diri untuk mencapai potensi mereka.


3.0  Rumusan :
Kesimpulannya, kegagalan melahirkan lebih banyak murid yang memenuhi enam ciri seperti yang dinyatakan dalam artikel ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada pihak guru semata-mata. Persekitaran tempat tinggal murid-murid tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi jati diri murid-murid. Murid yang tinggal dalam keluarga yang mementingkan ilmu, mengamalkan nilai murni dalam aktiviti harian dan memperlihatkan nilai patriotik secara tidak langsung mempengaruhi murid untuk mencontohi ahli keluarga mereka. Demikian juga halnya dengan rakan sebaya dan masyarakat setempat. Sekiranya murid sering bergaul dengan rakan-rakan yang biasa berkomunikasi dalam dwibahasa, sudah pasti murid berkenaan akan turut sama berbahasa dwibahasa.

            Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan tugas dan tanggungjawab guru adalah berat dalam usaha membentuk generasi negara masa depan yang mampu menangani segala perubahan dan tuntutan masa. Maka iltizam, semangat dan sikap yang positif sahaja yang mampu menonjol imej guru yang dapat memainkan peranan yang cukup berkesan. Kepelbagaian tugas, tanggungjawab inilah member cabaran pada guru bagi meningkatkan segala kualiti, sifat mahupun akauntabiliti kepada bidang profesionalisme ini agar ia terus dipandang megah oleh masyarakat dan dapat mendukung hasrat negara menaikkan mutu pendidikan negara setaraf antarabangsa. Tegasnya, peranan guru di sekolah amat penting dalam melahirkan murid  seperti yang dimatlamatkan oleh PPPM. Namun begitu, keberkesanannya juga bergantung pada pihak lain.

No comments:

Post a Comment